Selasa, Jun 16, 2020

ISU GOLONGAN KATA DAN ISU "PENJARAKAN SOSIAL" (Awang Sariyan, 2020)

SU GOLONGAN KATA DAN ISU "PENJARAKAN SOSIAL"
(Oleh Prof. Datuk Dr. Awang Sariyan, Penyandang Kursi Za'ba, Institut Peradaban Melayu, UPSI)

1. Sejak awal ilmu tatabahasa dikaji, penetapan golongan kata atau kelas kata menjadi salah satu masalah. Dalam bahasa Inggeris, dikenal pasti lapan golongan kata (eight parts of speech) oleh ahli tatabahasa tradisional, iaitu "noun, pronoun, verb, adverb, adjective, preposition, conjunction, interjection".

2. Tetapi ahli bahasa aliran lain mempunyai pandangan yang berlainan. Misalnya, ahli bahasa aliran struktural seperti C.C Fries memperkenalkan golongan kata berdasarkan bentuk dan kedudukannya dalam ayat dan menolak penggunaan istilah yang digunakan oleh ahli tatabahasa tradisional itu. Maka dianjurkannya golongan kata berdasarkan angka, seperti golongan kata I, II, III, IV dan seterusnya kerana istilah "noun, pronoun, verb, adverb dan yang lain itu dianggap berdasarkan logika, bukan berdasarkan bentuk kata dan struktur ayat. Bagimanapun lapan golongan kata dalam bahasa Inggeris itu lebih meluas dan bertahan hingga kini.

3. Golongan kata dalam bahasa Melayu berlainan menurut ahli tatabahasa. Zainal Abidin Bin Ahmad atau Za'ba yang dianggap Bapa Tatabahasa Melayu membahagi golongan kata yang utama kepada lima, iaitu nama, perbuatan, sifat, sendi dan seruan. Dipecahkanya beberapa golongan kata itu kepada subgolongan, seperti nama kepada nama betul dan ganti nama, sifat kepada sifat nama dan sifat kata, sendi kepada sendi nama dan sendi kata. Penggolongan kata oleh Za'ba itu jelas memperlihatkan pengaruh penggolongan kata dalam bahasa Inggeris, walaupun ganti nama (pronoun), sifat nama (adjective), sifat kata (adverb), sendi nama (preposition), sendi kata (adverb) dikelompokkan sebagai subgolongan. Dalam pengenalan buku tatabahasanya yang terkenal, iaitu Pelita Bahasa Melyu (tiga jilid, kemudian disatukan dalam satu jilid dalam edisi baharu terbitan DBP), Za'ba mengakui acuan tatabahasa bahasa Inggeris yang digunakannya dalam penyusunan buku tatabahasanya itu.

4. Maka tidak benar pendapat sesetengah orang yang mengatakan bahawa Za'ba tidak dipengaruhi oleh tatabahasa bahasa Inggeris. Yang penting ialah bahawa beliau menggunakan data atau sumber bahasa Melayu dalam mengemukakan rumus-rumus tatabahasanya. Misalnya, dalam hal ayat pasif (Za'ba: ayat bangun kena buat), beliau tidak mengemukakan rumus ayat pasif bahasa Inggeris yang ditandai oleh satu binaan ayat, sebaliknya beliau mengemukakan tiga jenis ayat pasif, iaitu untuk diri pertama, diri kedua dan diri ketiga. Hal itu demikian kerana Za'ba menggunakan sumber penggunaan bahasa yang ada dalam bahasa Melayu walaupun acuan atau kerangka huraian berdasarkan acuan bahasa Inggeris.

5. Panel penyusun buku Tatabahasa Dewan mengemaskinikan golongan kata dalam bahasa Melayu kepada empat golongan utama, iaitu kata nama, kata kerja, adjektif dan kata tugas. Kata sendi (Za'ba: sendi nama), kata hubung (Za'ba: sendi kata), sifat kata (Za'ba: sendi kata) dimasukkan dalam golongan kata tugas, yang pecahannya cukup banyak. Golongan kata tugas itu berasaskan konsep "function words" dalam bahasa Inggeris, yang dibedakan daripada "content words" seperti nama, kata kerja dan adjektif. Kata tugas ialah kata yang lebih berfungsi dalam binaan ayat, misalnya kata sendi nama yang berfungsi merangkaikan kata penuh dengan kata penuh yang lain (seperti dalam ayat "Beliau ke Johor", kata sendi nama "ke" merangkaikan "beliau" sebagai subjek ayat dengan kata "Johor").

6. Dalam tulisan ini, saya tidak bertujuan untuk membincangkan isu golongan kata dengan mendalam, tetapi sekadar menegaskan bahawa penguasaan golongan kata penting dalam penggunaan bahasa, apatah lagi bagi pendidik yang perlu membimbing pelajar dengan betul. Sebagai contoh, dalam isu istilah "penjarakan sosial", timbul kekeliruan adakah kata itu kata nama atau kata kerja. Daripada segi golongan kata, jelas bahawa kata itu ialah kata nama (kata nama terbitan) yang terbit daripada kata "jarak" (kata nama), bukan kata "penjara". Kata itu kemudian menjadi bentuk terbitan "menjarakkan" (kata kerja).

7. Proses terbitnya kata "penjarakan" (padanan "distancing" dalam bahasa Inggeris) dapat digambarkan seperti yang berikut:
jarak > menjarakkan > penjarakan
Prosesnya sama dengan:
hasil > menghasilkan > penghasilan
tempat > menempatkan > penempatan
buku > membukukan > pembukuan
fail > memfailkan > pemfailan

8. Kekeliruan atau kesamaran timbul kerana takdirnya kata "penjarakan" yang bererti 'proses menjarakkan' berhomograf (sama ejaannya) dengan kata kerja perintah "penjarakan" yang bererti 'arahan memenjarakan atau memasukkan seseorang ke dalam penjara'. Oleh sebab kata nama "penjarakan" dengan makna 'menjarakkan' baru muncul penggunaannya, maka banyak yang keliru kerana mereka biasa mendengar dan membaca kata "penjarakan" dengan makna 'arahan agar seseorang dipenjarakan'. Maka ada yang mencadangkan agar kata "penjarakan" dieja dengan "penjarakkan" (dua "k"). Cadangan itu tidak dapat diterima kerana kata "penjarakan" (padanan kata "distancing") ialah kata nama. Tidak ada imbuhan apitan "pe-...-kan) untuk kata nama, kerana kata itu terbentuk daripada paduan antara imbuhan "pen-...-an" dengan kata "jarak". Gambarannya adalah seperti yang berikut:
"pen+jarak+an" (ejaannya "penjarakan")
[Namun dalam ucapan tidak dipisahkan "akhiran -an" sebagai suku kata.]

9. Demikianlah asas mengapa kata itu tidak boleh dieja dengan dua "k", kerana kata itu ialah kata nama. Kejadian dua "k" wujud apabila kata yang berakhir dengan huruf "k" diterbitkan menjadi kata kerja transitif, seperti:
men + jarak + kan > menjarakkan
me + letak + Kan > meletakkan
meng + gerak + kan > menggerakkan
meng + galak + kan > menggalakkan
Semua kata itu, sebagai kata kerja transitif (Za'ba: perbuatan melampau), memerlukan akhiran "kan". Tidak boleh pula kata-kata itu ditulis dengan menggunakan imbuhan "me-...-an" kerana imbuhan itu tidak ada dalam bahasa Melayu. Maka ejaan seperti yang berikut adalah salah:
menjarakan (x)
meletakan (x)
menggerakan (x)
menggalakan (x)

10. Seterusnya, perlu difahami bahawa tidak ada rumus tatabahasa "dua k". Kejadian dua "k" hanya disebabkan kata dasarnya berakhir dengan huruf "k", dan kata kerja lain jelas tidak memerlukan dua "k", seperti:
me + lepas + kan > melepaskan
men + jaya + kan > menjayakan
me + luah + kan > meluahkan
Semua kata kerja transitif berawalan "me-" mengalami pengguguran awalan itu apabila kata itu digunakan dalam ayat perintah. Contohnya:
1. Jarakkan kereta anda daripada lori.
2. Letakkan semula buku yang telah dibaca di rak.
3. Gerakkan projek itu dengan berstrategi.
4. Galakkan anak-anak membaca bahan bacaan yang baik.
5. Lepaskan burung itu.
6. Jayakan kempen membaca.
7. Luahkan perasaan dengan tenang.
Dalam pola itulah kata "memenjarakan" terbentuk menjadi kata kerja perintah "penjarakan" yang bererti 'arahan agar seseorang dipenjarakan', yang lain daripada kata nama "penjarakan" bagi padanan "distancing". Sekali lagi saya jelaskan bahawa kekeliruan atau kesamaran timbul disebabkan ejaan dan sebutan dua patah kata itu sama, dengan golongan kata dan makna yang berlainan. Dalam bahasa, jika kekeliruan itu masih sukar diatasi meskipun telah dijelaskan hakikat perbedaan dua patah kata itu, perlu dicari sinonim bagi kata yang tidak atau belum lazim itu. Maka itu, boleh digunakan kata majmuk "pembatasan sosial" kerana "membataskan" sama ertinya dengan kata "mengehadkan" dan "menjarakkan".

11. Huraian di atas baru merupakan salah satu contoh pentingnya golongan kata dikuasai dengan baik, khususnya oleh pendidik. Tanpa penguasaan yang baik, sukar pendidik hendak menjelaskan penggunaan kata yang betul, seperti penggunaan imbuhan, kedudukan kata dalam ayat dan makna kata yang tepat. Barangkali ada pembaca tulisan ini yang berasa penat (fikirannya) kerana perlu menghadamkan lunas-lunas bahasa yang menjadi asas penggunaan bahasa. Untuk mendalami ilmu (dalam bidang apa-apa sekalipun), diperlukan kesabaran dan kesungguhan serta kesediaan untuk terus belajar (membaca, berbincang, menaakul).

Mudah-mudahan tulisan ini ada manfaatnya. Pada waktu lain insya-Allah saya sambung isu golongan kata dan isu lain tentang penggunaan bahasa.
@ Awang Sariyan Kembara Bahasa
25 April 2020



 

 



Tiada ulasan:

Catat Ulasan